NIAT CARA MANDI WAJIB Panduan Lengkap Bergambar
Bagaimana niat mandi wajib dan cara mandi wajib yang betul?
Ini adalah panduan paling lengkap mengenai cara mandi wajib selepas haid, junub dan nifas, secara langkah demi langkah.
Panduan ini juga akan menerangkan segala perkara yang berkaitan dengannya.
* Niat mandi wajib
* Apakah rukun mandi wajib
* Doa selepas mandi wajib
Dan paling penting:
Setiap bacaan dipermudahkan dengan ejaan rumi.
Persoalan-persoalan lazim berkaitan mandi wajib turut disenaraikan untuk memudahkan anda membuat rujukan masalah.
Definisi mandi menurut bahasa ialah mengalirkan air kepada seluruh badan.
Dari sujud syarak pula, mandi wajib bermaksud mengalirkan air ke seluruh tubuh dengan niat tertentu.
Mandi wajib bermaksud mengangkat (menghilangkan) hadas besar, seperti mandi junub, mandi kerana selesai haid atau nifas dan sebaliknya.
Niat Mandi Wajib (Rumi)
Berikut saya sertakan beberapa cara niat mandi wajib secara umum dan secara khusus.
Niat Mengangkat Hadas Besar (Umum)
Ini adalah niat umum untuk mandi wajib bagi keadaan junub, haid dan nifas.
Nawaitu Raf ‘al Hadasil Akbari Lillahi Ta’ala.
Niat dalam Bahasa Melayu:
> Sahaja aku mengangkat hadas besar kerana Allah Taala
Selain dari niat umum diatas, niat mandi wajib juga boleh dibaca secara khusus untuk Junub, Haid dan Nifas, seperti dibawah:
Niat Mandi Kerana Junub
Niat mandi wajib khusus bagi junub adalah seperti berikut:
Nawaitul Ghusla ‘Anil-janabati Lillahi Taala
> Sahaja aku mandi junub kerana Allah Taala
Niat Mandi Wajib Selepas Haid
Niat mandi wajib khusus bagi haid adalah seperti berikut:
Nawaitul Ghusla ‘Anil Haidhi Lillahi Taala
> Sahaja aku mengangkat hadas haid kerana Allah Taala.”
Niat Mandi Wajib Kerana Nifas
Niat mandi wajib bagi nifas pula adalah seperti ini:
Nawaitul Ghusla ‘Anin-nafasi Lillahi Taala
> Sahaja aku mengangkat hadas nifas kerana Allah Taala”.
Nota:
Bilakah perlu dibaca niat mandi wajib ini?
Niat mandi wajib ini perlu dibaca apabila air telah menyentuh kulit tubuh kita. Niat boleh dilafazkan melalui mulut atau dibaca dalam hati.
Cara Mandi Wajib Yang Betul & Sempurna
Segala amal ibadah yang hendak dilakukan sebaik-baiknya perlu mengikut jejak langkah Rasulullah SAW.
Disini adalah saya tunjukkan cara langkah demi langkah cara mandi wajib mengikut adab dan sunat-sunatnya:
Mula-mula kita hadapkan badan kita ke arah kiblat.
Kemudian kita basuh kedua-dua tangan sebanyak tiga kali.
Kemudian kita basuh kedua-dua tangan sebanyak tiga kali.
Setelah itu kita beristinjak yakni membasuh kemaluan, membuang najis dan benda-benda yang dapat menghalang sampainya air ke kulit badan kita.
Kemudian, kita berwuduk sebagaimana wuduk untuk solat.
Tapi niatnya ialah:
> Sahaja aku berwuduk bagi melakukan mandi wajib, sunat kerana Allah Taala
Kemudian, bacalah basmallah (Bismillahir Rahmanir Rahim) dan berniat sambil mencurahkan air ke seluruh badan kita.
Apabila air telah menyentuh kulit tubuh, maka niat untuk mandi wajib.
Niatnya, seperti yang telah disebutkan dalam rukun mandi iaitu:
> Sahaja aku berniat mengangkat hadas besar kerana Allah Taala
Atau boleh juga:
> Sahaja aku mandi wajib kerana kerana Allah Taala
Kemudian sampaikanlah air ke seluruh tubuh, termasuk ke celah-celah jari-jari tangan, kaki, pangkal rambut, janggut, cuping telinga, lubang hidung, pusat dan lubang dubur.
Rambut yang terikat hendaklah diuraikan.
Apabila air tidak kena pada salah satu daripada anggota badan maka mandi itu masih belum dianggap sempurna sahnya.
Kemudian, jika kita mandi di sungai yang mengalir atau kolam yang airnya lebih dari dua kullah, maka dibolehkan menyelam ke dalam air.
Lakukanlah sebanyak tiga kali selaman sambil berniat dan meratakan air ke seluruh tubuh dengan menggosok-gosok tangan ke seluruh badan, termasuk celah-celah yang boleh disampaikan air kepadanya.
Kemudian, selepas semua itu dilakukan, maka berhentilah mandi, lalu baca doa ini:
Doa Mandi Wajib
Asy-hadu Alla ilaha illallahu Wahdahu Lasyarikalah, Wa-Asy-Hadu Anna Muhammadan ‘Abduhu Warasuluh.
Maksudnya:
> Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, yang Esa dan tiada sekutu bagiNya. Dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba Rasulnya.
Peringatan:
1. Sekiranya terdapat najis di anggota badan maka wajiblah dibasuh najis itu terlebih dahulu
2. Mandi junub boleh dirangkumi dengan mandi sunat sekali.
3. Perbezaan antara cara mandi wajib dengan mandi sunat hanyalah pada niatnya sahaja. Cara kaedah mandi adalah sama.
4. Setelah mandi hadas besar maka tidaklah lagi diwajibkan mengambil wuduk apabila hendak mengerjakan solat dengan syarat tidak melakukan perkara-perkara membatalkan wuduk semasa mandi.
Sebab-Sebab Perlu Mandi Wajib
Mandi wajib adalah asas dalam kesucian kehidupan seorang muslim.
Tanpa mandi wajib yang sah dan sempurna, solat dan ibadah kita yang lain tidak akan diterima oleh Allah.
Oleh itu penting untuk kita memberi perhatian serius mengenai perkara ini. Terdapat beberapa perkara yang mewajibkan kita untuk mandi wajib.
Antaranya adalah:
1. Bersetubuh (Berjimak) Sama ada keluar air mani ataupun tidak.
Perlakuan ini ialah apabila bertemu dua khitan (kemaluan lelaki dan perempuan) iaitu dengan memasukkan hasyafah (batasan zakar yang dikhatan) ke dalam faraj.
Diriwayatkan sebuah hadis daripada Nabi SAW:
> Apabila bertemu dua khitan, maka sesungguhnya wajib mandi — Riwayat Ibnu Majah
2. Keluar air mani secara sengaja ataupun tidak
3. Mati selain daripada mati syahid
4. Datangnya Haid bagi perempuan
5. Keluar darah Nifas (darah yang mengiringi selepas bersalin)
6. Wiladah (bersalin)
Hukum Mandi Wajib
Mandi wajib, dikenali sebagai mandi junub dan disebut juga sebagai mandi hadas besar.
Hukum mandi wajib atau mandi hadas besar ini ialah WAJIB
Jika sebab-sebab mewajibkan mandi itu berlaku ke atas diri seseorang, maka wajiblah dia mandi.
Seandainya seseorang itu belum mandi wajib atau mandi junub, maka haramlah dia mengerjakan solat, haram menyentuh dan membawa al-Quran, membacanya, haram mengerjakan tawaf dan lain-lain yang diharamkan ketika dalam keadaan berhadas besar.
Suruhan atau perintah mandi wajib ini berdasarkan firman Allah dalam surah al-Maidah, maksudnya:
> Dan jika kamu sedang junub, maka bersuci (mandilah) kamu
(al-Maidah 5: 6)
Ini bererti jika seseorang itu dalam keadaan berhadas besar atau junub, maka wajiblah dia mandi agar dia suci daripada hadas dan kemudian boleh mengerjakan pelbagai macam ibadat.
Rukun Mandi Wajib
Rukun mandi wajib ada dua sahaja, iaitu:
1. Berniat untuk mandi wajib
2. Meratakan air ke seluruh anggota badan yang zahir
Apabila kita telah melakukan dua perkara ini, maka sah lah mandi wajib tersebut.
Syarat Sah Mandi Wajib
Antara syarat sah mandi wajib adalah menghilangkan najis dari badan.
Bila seseorang ingin melakukan mandi wajib, maka disyaratkan untuk terlebih dahulu memastikan TIADA najis yang masih melekat pada mana-mana anggota badannya.
Perkara Wajib & Sunat Semasa Mandi Wajib
Terdapat beberapa perkara yang wajib dan sunat dilakukan ketika mandi wajib
Perkara Wajib * Niat
* Membasuh seluruh badan yang zahir dengan air termasuk kulit atau rambut. Air hendaklah disampaikan ke bahagian dalam rambut dan pangkalnya.
Perkara Sunat * Membasuh kedua-dua tangan di luar daripada bekas air
* Membasuh kemaluan dengan tangan kiri dan juga segala kekotoran yang ada pada badan.
* Berwuduk
* Menyelati rambut kepala dengan air kemudian membasuh kepala tiga kali
* Membasuh bahagian kanan dulu kemudian kiri.
* Menggosok tubuh dan berturut-turut dalam membasuh anggota.
* Mengambil air dan membasuh ke semua tubuh yang berlipat seperti kedua-dua telinga lipatan perut, di dalam pusat dan ketiak.
* Membasuh sebanyak tiga kali sebagai kias kepada wuduk
Contoh Masalah Berkaitan Mandi Wajib
Disini dikumpulkan beberapa soalan lazim mengenai permasalahan cara mandi wajib
Apakah Perbezaan Cara Mandi Wajib Diantara Lelaki & Perempuan? Tiada bezanya mandi wajib lelaki dan perempuan. Cuma bagi perempuan kenalah cermat sikit semasa meratakan air ke rambut dan celah celahan, supaya air sampai.
Bagaimana Cara Menghilangkan Rasa Was-Was Semasa Mandi Wajib? Antara kaedah yang diajarkan ulama’ adalahjangan melayanperasaan was-was tersebut.
Kaedah fiqh mengatakan“al-yakin la uzaalu bil-syak”iaitu ‘yakin tidak dibatalkan dengan keraguan’.
Imam Suyuthi menyebutkan bahawa kaedah ini menjadi 3/4 daripada hukum fiqh.
Adakah Mandi Wajib Itu Sah Sekiranya Mandi Berbogel? Hukum mandi telanjang adalah makruh dan sebahagianSyafieyyahmenguatkan pendapat haram.
Al-Hafiz berkata:“Yang masyhur adalah makruh jika bersendirian.”
Justeru, sah mandi dalam keadaan telanjang tetapi hendaklah tidak di tempat terbuka atau dapat dilihat oleh orang lain.
Begitu juga sepatutnya seseorang Muslim hendaklah menjaga maruahnya dan tidak mendedahkan aib diri sendiri di hadapan orang lain.
Bolehkah Kita Hanya Guna Niat: “Sahaja Aku Mandi Hadas Besar Kerana Allah Ta’ala” Untuk Mandi Hadas Haid, Nifas, Wiladah & Junub?Ya boleh. Dengan kita niat mengangkat hadas besar iaitu (mandi junub) maka terangkat kesemua semua hadas besar termasuklah mandi haid, nifas, wiladah dan lain-lain.
Adakah Sah Menggunakan Sabun Mandi Atau Syampu Semasa Mandi Wajib? Adalah seeloknya kita mandi seperti biasa dahulu dan diikuti mandi wajib.
Atau pun mandi wajib dahulu setelah semunya dah rata, maka bolehlah gunakan sabun dan syampu, takut berubahnya air mutlak disebabkan air sabun atau syampu.
Adakah Perlu Mandi Wajib Sekiranya Bermimpi Namun Tidak Keluar Air Mani?Sesiapa yang bermimpi tetapi tidak keluar air mani, maka tidak perlu baginya untuk mandi wajib.
Adakah Sah Mandi Wajib Sekiranya Terdapat Luka Yang Belum Kering?Untuk mandi wajib ketika ada anggota badan yang tidak boleh terkena air disebabkan mudarat, maka hendaklah dibalut dahulu angota tersebut supaya tidak terkena air.
Ketika mandi wajib, wajib kita ratakan air ke seluruh badan melainkan anggota badan yang tidak boleh terkena air (yang berbalut ).
Selepas selesai mandi wajib hendaklah bertayamum untuk menyempurnakan mandi wajib tersebut.
Adakah Sah Mandi Wajib Apabila Saya Mengosok Qubul (Kemaluan Depan) atau Dubur Dengan Tangan? Sah mandi wajib apabila tangan menyentuh qubul atau dubur, tetapi hanya wuduk sahaja akan terbatal.
Jika tidak mahu terbatalnya wuduk, mandi menggunakan kain basah dan gosok dengan berlapik di kawasan yang sulit.
jika wuduk terbatal juga, boleh ambil semula wuduk selepas mandi junub.
Adakah Doa Yang Perlu Dibaca Selepas Selesai Mandi Wajib? Selesai mandi wajib boleh sahaja terus keluar. Tetapi di sunatkan berdoa setelah keluar bilik air.
Apakah Hukum Mandi Wajib Dengan Rambut Dreadlock?
Mempunyai rambut dreadlock tidaklah menyebabkan air mandi wajib tidak sah. Mandi wajib hanya tidak sah apabila air tidak sampai ke rambut dan kulit kepala.
Bolehkah Mandi Wajib Selepas Subuh Di Bulan Ramadan?
Melewat-lewatkan mandi janabah selepas bersama isteri pada malam hari bulan Ramadan sehingga terbitnya fajar tidak menghalang sahnya puasa, sebaliknya makruh melakukan demikian itu.
Justeru, sunat bersegera untuk mandi wajib sebelum terbitnya fajar.
Adakah Sah Mandi Wajib Dengan Rambut Yang Diwarnakan?
Perlu dilihat pada bahan yang digunakan sebagai pewarna rambut.
Jika sifatnya sama seperti inai, yakni boleh ditimbus air dan nipis, maka sah mandi wajib dan tidak perlu diulang.
Jika tidak, maka boleh dipotong bahagian rambut yang diwarnakan tersebut, atau boleh dilunturkan (bleaching) sehingga hilang zat yang menghalang air sampai, kemudian dilaksanakan mandi wajib semula.
Adakah Boleh Disekalikan Mandi Wajib Bagi Perempuan Wiladah dan Nifas? Berdasarkan pendapatImam An-Nawawi RahimahullahTaala, jika seorang perempuan itu mengalami haid, kemudian dia berjunub, atau sebaliknya, ketika dia berjunub dia didatangi haid, hukumnya tidak sah dia mandi mengangkat hadas junub ketika dia dalam keadaan haid.
Ini kerana hadas junubnya tidak terangkat dalam keadaan seseorang itu masih dalam haid.
Begitu juga sekiranya seseorang mengalami darah wiladah dalam keadaan masih mengalami darah nifas, maka ia hendaklah menunggu sehingga darah nifasnya selesai barulah ia mandi kerana wiladah dan nifas.
Beberapa cara yang boleh diaplikasikan, antaranya:
1. Meniatkan setiap hadas besar yang dia alami dan dimaksudkannya. Contoh, jika dia mengalami dua hadas besar iaitu nifas dan junub maka diniatkan kedua-duanya sekali.“ Sahaja aku mengangkat hadas nifas dan junub”
2. Memadai niat hanya satu niat sahaja atau satu niat yang umum merangkumi kesemua hadas.“Sahaja aku mengangkat hadas akbar (besar)”atau“Sahaja aku sahaja aku menunaikan fardhu mandi atauseumpama dengannya”.
Kesimpulannya, menurut ulama fekah, sekiranya seseorang itu mengalami dua hadas besar atau lebih, hukumnya adalah sah jika dia mengangkat kesemua hadas tersebut sekaligus dengan satu mandi sahaja seperti mana yang keterangan yang disebutkan tadi.
Adakah Wanita Istihadah Perlu Mandi Wajib?
Wanita yang istihadah tidak perlu mandi hadas. Sama ada dia masih istihadah atau sudah sembuh dari istihadah, dia tidak perlu mandi wajib. Ini kerana Istihadah bukanlah darah haid atau nifas.
Hukum Mandi Wajib Di Kolam Atau Sungai
Hukumnyasah.
Sama ada dia mandi dalam air yang tenang (seperti kolam air) atau air yang mengalir (seperti sungai).
Tapi jika dalam kolam mandi, mestilah kolam air itu melebihi 2 qullah (228 liter).
Jika tidak sampai 2 qullah, air itu akan menjadimustakmalapabila dibuat untuk mandi wajib.
Cuma berbalik pada syarat sah cara mandi wajib, iaitu menyampaikan air pada seluruh anggota yg zahir (luaran) seperti keseluruhan rambut, bulu-bulu, bawah kuku, lubang telinga yang zahir (had yang sehinga boleh dimasuki jari), termasuk celah punggung dan zahir dubur (lubang tempat keluar najis yang fleksibel itu), yakni wajib dibukakan sedikit (diteran sedikit) dan dikenakan air padanya.
Manakala pada rambut pula, jika ia disanggul wajib dibuka sanggulnya agar dikenakan air.
Adapun anggota yang batin (dalaman) sahaja tidak wajib dikenakan air, seperti lubang telinga yang batin (yakni had yang tak boleh dimasuki jari) dan lubang hidung.
Penutup
Taharah atau bersuci merupakan suatu tugas yang sangat penting dalam kehidupan seorang muslim.
Ia adalah punca atau asas penerimaan segala amal ibadat.
Andai seseorang itu mengerjakan ibadah solat tetapi belum bersuci atau mandi wajib junub secara tidak sempurna, maka solatnya dikira tidak sah.
Semoga panduan ini memberi manfaat kepada anda.
Suka Apa Yang Anda Baca?
Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!
Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.