CARA BACAAN SUJUD SAHWI Panduan Lengkap Rumi

Bagaimana cara dan bacaan Sujud Sahwi?

Panduan ini akan menerangkan bacaan dan cara sujud sahwi dengan betul, secara langkah demi langkah.

Setiap bacaan juga dipermudahkan dengan ejaan Rumi bagi memudahkan anda yang tidak boleh membaca tulisan arab.

Semoga membantu.

Pengenalan
Salah satu sifat semulajadi manusia adalah lupa.

Setiap individu tanpa mengira darjat dan kedudukan pasti pernah terlupa. Malah Rasulullah SAW yang mulia juga tidak dapat lari daripada sifat ini.

Selain dalam kehidupan biasa, kita juga boleh terlupa ketika bersolat, sama ada meninggalkan rukun atau sunat, atau terlupa rakaat yang dikerjakan atau terlebih.

Diriwayatkan Rasulullah SAW pernah terlebih rakaat dalam solat kemudian Baginda bersujud sahwi.

Abdullah r.a menceritakan daripada ibrahim r.a katanya:

> Rasulullah SAW telah bersolat dan menambah rakaat atau kurang. Selepas baginda memberi salam, kami bertanya “Wahai Rasulullah, adakah berlaku perubahan dalam solat?” Baginda menjawab,”Jika berlaku perubahan pasti saya akan maklumkan kepada kamu. Tetapi saya juga hanya manusia yang lupa sebagaimana kamu lupa. Sesiapa dikalangan kamu yang merasa syak dalam solatnya hendaklah dia mengambil yang lebih tepat dan kemudian sempurnakannya. Setelah itu hendaklah dia memberi salam lalu bersujud dengan dua kali sujud.

Riwayat al-Nasa’i dalam Sunan al-Nasa’i, kitab Sahwi
Oleh itu, pensyariatan sujud sahwi adalah pengiktirafan Allah kepada sifat kemanusiaan hambaNya yang pelupa.

Selain itu, ia juga menonjolkan kelebihan mengapa Allah mengutuskan seorang rasul yang bersifat manusia kepada manusia lain sebagai panduan dan bimbingan.

Sekiranya Allah mengutuskan malaikat, sudah tentu manusia tidak dapat mengikutnya.

Maksud Sujud Sahwi
Apakah maksud sujud sahwi?

Sahwi disini bermaksud lupa atau lalai terhadap sesuatu, atau meninggalkan sesuatu secara tidak sengaja.

Dari segi syarak pula:

Sahwi bermaksud kecacatan atau kekurangan yang dilakukan oleh orang yang bersolat dalam solatnya sama ada dengan sengaja atau terlupa.

Oleh itu, sujud sahwi bertujuan untuk menutup kekurangan yang terjadi akibat kelupaan tersebut.

Sujud ini merupakan dua sujud tambahan yang dilakukan selepas selesai Tahiyat Akhir dan sebelum memberi salam.

Hukum Sujud Sahwi
Apakah hukum sujud sahwi?

Hukum sujud sahwi adalah sunat muakkad.

Dan tidak terbatal solat jika terlupa atau sengaja tidak melakukannya.

Dalil hukum ini adalah berdasarkan kepada perbuatan Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Abu Hurairah r.a, katanya:

> Nabi SAW bersolat Zuhur atau Asar bersama dengan kami, kemudian Baginda memberi salam (selepas dua rakaat). Lalu Zul-Yadain bertanya; ‘Wahai Rasulullah, adakah solat telah dikurangkan?’. Nabi SAW bertanya kepada sahabat-sahabatnya: ‘Benarkah apakah yang dikatakannya?’ Mereka menjawab: ‘Ya’. Lalu Baginda bersolat dua rakaat dan setelah itu bersujud sebanyak dua kali. Saad (bin Ibrahim) berkata: ‘Saya melihat ‘Urwah bin al-Zubair bersolat maghrib dua rakaat dan memberi salam. Dia bercakap-cakap, kemudian bersolat rakaat yang tertinggal serta dua kali sujud’. Katanya: ‘Demikiankah yang dilakukan oleh Nabi SAW’

(Riwayat al-Bukhari dalam Sahih al-Bukhari, Kitab Jumaat: Bab jika salam pada rakaat kedua atau ketiga, hendaklah sujud)
Sebab Kena Sujud Sahwi
Apakah sebab sujud sahwi dilakukan?

Terdapat beberapa keadaan yang disunatkan untuk melakukan sahwi:

1. Tertinggal Rukun Solat

Meninggalkan mana-mana rukun dalam solat, kecuali niat dan takbiratul ihram.

Jika seseorang yang sedang solat sujud tanpa rukuk, bererti dia telah meninggalkan satu rukun dalam solat.

Dia hendaklah bangun kembali dan rukuk, kemudian meneruskan semula solatnya seperti biasa.

Tetapi sekiranya seseorang itu terlupa berniat atau bertakbiratulihram, solatnya tidak sah dan perlu mengulanginya semula.

2. Ragu-Ragu Terhadap Bilangan Rakaat Dalam Solat

Bagaimana jika kita tidak pasti bilangan rakaat dalam solat?

Contohnya, apabila berada di rakaat akhir, tiba-tiba dia keliru sama ada telah melakukan empat rakaat atau tiga rakaat.

Dalam keadaan ragu ini, dia hendaklah mengira rakaat yang paling sedikit.

Setelah itu, dia juga disunatkan melakukan sujud untuk menampung kalau-kalau dia melakukan lebih rakaat.

Imam Muslim meriwayatkan daripada Abu Said r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda:

> Apabila seseorang berasa ragu-ragu dalam solatnya, dan tidak mengetahui berapa rakaat yang telah dilakukannya, tiga atau empat rakaat, hendaklah dia menghilangkan perasaan ragu-ragu itu dan mengambil apa yang diyakini (iaitu tiga rakaat) dan kemudian sujud dua kali sebelum memberi salam. Jika dia sebenarnya bersolat lima rakaat, maka ia melengkapkan solat tersebut. Sekiranya solatnya cukup empat rakaat, sujudnya itu adalah untuk mencela syaitan.

(Riwayat Muslim dalam Sahih Muslim, kitab Masjid dan tempat-tempat solat: Bab lupa dalam solat dan sahwi)

3. Meninggalkan Sunat Ab’adh

Apakah yang dimaksudkan dengan sunat ab’adh?

Sunat-sunat ab’adh adalah seperti berikut:

* Tahiyat awal (pertama)
* Selawat ke atas Nabi SAW dalam tahiyat awal
* Duduk tahiyat / tasyahud awal
* Doa qunutpada rakaat kedua solat subuh dan pada solat witir yang terakhir sejak malam 15 hingga akhir bulan Ramadhan.
* Selawat ke atas Nabi SAW dalam qunut
* Selawat ke atas ahli keluarga Nabi SAW dalam qunut
* Berdiri semasa berqunut
* Selawat ke atas keluarga Nabi dalam tahiyat akhir.

4. Melakukan Perbuatan Yang Dilarang Dalam Solat

Disunatkan untuk melakukan sujud sahwi apabila melakukan perbuatan yang dilarang dalam solat secara tidak sengaja dan perbuatan tersebut tidak membatalkan solat.

Contohnya:

Bercakap dengan beberapa perkataan kerana terlupa atau menambah rakaat, dan kemudian teringat kembali ketika masih dalam solat.

Maka hendaklah dia bersujud.

5. Melakukan Rukun Bukan Pada Tempatnya

Melakukan satu rukun atau sebahagian rukun atau membaca surah bukan pada tempatnya.

Contohnya, seperti membaca al-Fatihah ketika rukuk, atau membaca tahiyat ketika berdiri.

Bacaan Sujud Sahwi
Bagaimanakah lafaz bacaan sujud sahwi?

Bacaan sujud sahwi adalah seperti berikut:

SubhaaNa Man Laa YaNaaMu Walaa Yas-Huu (3 kali)

Maksudnya:

> Maha Suci Allah yang tidak tidur dan tidak lupa

Cara Melakukan Sujud Sahwi

Bagaimana cara melakukan sujud sahwi?

Tatacara urutan untuk melakukan sujud ini adalah seperti berikut:

Niat Sujud Sahwi
Orang yang hendak melakukan sujud ini hendaklah berniat malakukannya.

Dan ia hendaklah dilakukan di hujung solat sebelum salam atau selepas salam jika terlupa.

Lafaz niat sujud sahwi tidaklah ditentukan.

Anda boleh berniat dengan “sahaja aku melakukan sujud sahwi” di dalam hati.

Lakukan Sujud Sebanyak 2 Kali
Sujud Sahwi Pertama
1. Apabila selesai membaca tahiyat akhir dan sebelum salam, terus sujud untuk sujud sahwi pertama dan bacalah sebanyak tiga (3) kali:

SubhaaNa Man Laa YaNaaMu Walaa Yas-Huu (3 kali)

Maksudnya:

> Maha Suci Allah yang tidak tidur dan tidak lupa

2. Sesudah itu, bangkit ke kedudukan antara dua sujud.

Sewaktu ini, boleh dibaca bacaan sebagaimana bacaan antara dua sujud solat fardu atau memadai dengan diam sahaja beserta tamakninah (diam sebentar).

Sujud Sahwi Kedua
3. Seterusnya lakukan sujud sahwi kedua dan bacalah sebagaimana sujud yang pertama tadi, juga sebanyak tiga (3) kali:

SubhaaNa Man Laa YaNaaMu Walaa Yas-Huu (3 kali)

Maksudnya:

> Maha Suci Allah yang tidak tidur dan tidak lupa

3. Seterusnya mengakhiri solat dengan memberi salam

Selesai sujud yang kedua, duduklah kembali sebagaimana duduk tahiyat akhir dan terus mengucapkan salam.

Assalamu ‘Alaikum Warahmatullah

Maksudnya:

> Keselamatan ke atas kamu dan rahmat Allah

Tempoh Untuk Melakukan Sujud Sahwi
Jika tempoh selepas memberi salam terlalu lama, maka luputlah sunat melakukan sahwi.

Tetapi jika dia baru teringat untuk melakukan sujud sahwi selepas memberi salam dalam jangka masa yang singkat, dia masih boleh melakukannya.

Dia hendaklah kembali sujud, duduk, sujud semula dan duduk serta memberi salam sekali lagi.

Anggaran tempoh yang dikira lama selepas salam ialah sekadar boleh mendirikan solat sunat dua rakaat yang ringan.

Masalah-Masalah Berhubung Sujud Sahwi
Berikut adalah beberapa masalah yang sering timbul berkaitan dengan sujud sahwi:

Terlupa Sujud Terakhir
Seseorang terlupa sujud terakhir pada rakaat yang terakhir, kemudian dia teringat sebelum salam.

Penyelesaian

Hendaklah dia kembali melakukan sujud tersebut, mengulangi bacaan tahiyat dan salam. Tetapi dia tidak perlu lagi buat sujud sahwi

Tidak Pasti Bilangan Sujud
Seseorang itu tidak pasti sama ada dia telah bersujud sekali atau dua kali ketika melakukan sujud sahwi.

Penyelesaian

Hendaklah dia sujud sekali lagi untuk meyakinkannya.

Tertinggal Perkara Rukun
Sekiranya seseorang tertinggal salah satu daripadarukun solat, solat tidak boleh ditutup dengan sahwi semata-mata.

Dia hendaklah terlebih dahulu melakukan rukun yang tertinggal itu sekiranya jarak tidak jauh dan dia teringat pada waktu sebelum memberi salam.

Contohnya, jika sesorang itu terus sujud dan terlupa untuk rukuk

Maka hendaklah dia bangun semula untuk melakukan rukuk dan barulah dilakukan sujud sahwi selepas tahiyat akhir sebelum salam.

Ataupun jika dia teringat selepas salam, seumpamanya, dia terlupa membaca al-fatihah pada mana-mana rakaat, walaupun ia telah bercakap sikit, maka bolehlah ia menyambung semula solatnya dengan menambah kekurangannya tadi dan disunatkan ia sahwi.

Terlupa Membaca Doa Qunut
Bagaimana jika seseorang terlupa membaca doa qunut, dan terus melakukan sujud.

Penyelesaian

Apabila seseorang itu terlupa melakukan salah satu antarasunat ab’adh, maka dia tidak boleh kembali melakukannya setelah masuk ke rukun seterusnya dengan sempurna.

Dalam sujud itu baru ia teringat, maka tidak boleh ia bangun semula untuk membaca doa qunut itu.

Tetapi kalau belum sempurna sujudnya, maka bolehlah ia bangun semula untuk berqunut.

Sekiranya dia sudah turun daripada iktidal (berdiri setelah rukuk) dan belum sampai had rukuk, maka ia bangun membaca qunut, dia tidak sunat melakukan sahwi.

Tetapi kalau sudah melampaui had rukuk, belum sampai sempurna sujud dia boleh kembali membaca doa qunut, tetapi sunat mengerjakan sujud sahwi.

Tersilap Baca Doa Qunut Sebelum Rukuk
Sekiranya seseorang membaca doa qunut sebelum rukuk, dia hendaklah membaca sekali lagi doa qunut selepas rukuk

Penyelesaian

Disunatkan sujud sahwi.

Ini kerana walaupun terdapat pendapat yang menyarankan membaca doa qunut sebelum rukuk kerana menurut pendapat mereka Rasulullah SAW pernah melakukannya, tetapi ini adalah pendapat segelintir ulama.

Sedangkan mereka yang berpendapat sebaliknya adalah jumhur ulama, bahkan ia mengikut amalan khulafa al-rasyidin.

Tertinggal Tahiyat Awal
Bagaimana jika seseorang itu terus bangun dan terlupa melakukan tahiyat awal?

Penyelesaian

Sekiranya seseorang teringat sebelum naik ke batas rukuk, maka bolehlah ia duduk membaca tahiyat dan tidak sunat melakukan sahwi.

Sekiranya dia teringat setelah naik ke batas rukuk, tetapi belum sempurna berdiri, maka sunat dia melakukan sahwi.

Sekiranya telah berdiri, maka tidak boleh turun semula.

Bahkan kalau dilakukan juga, maka solatnya terbatal.

Hanya disunatkan sujud sahwi sahaja untuk menampulkan sunat yang tertinggal itu.

Tidak Pasti Bilangan Rakaat
Apabila seseorang tidak pasti bilangan rakaat yang telah dilakukan.

Contohnya:

Seseorang yang bersolat zuhur, kemudian syak sama ada dia sudah melakukan 3 atau 4 rakaat.

Penyelesaian

Dia perlu mengambil bilangan yang sedikit, iaitu 3 rakaat dan menambah satu lagi rakaat serta disunatkan untuk melakukan sujud sahwi sebelum memberi salam.

Terlupa Sujud Sahwi
Sekiranya seseorang itu terlupa melakukan sahwi dan teringat hanya selepas memberi salam, maka bolehlah dia melakukan sahwi dengan syarat ingatan itu timbul dalam masa yang tidak terlalu lama.

Walau bagaimana pun, kalau tertinggal sujud sahwi itu, tidaklah menjejaskan solat kerana ia sunat sahaja.

Imam Terlupa Melakukan Sujud Sahwi
Sekiranya imam terlupa sujud sahwi, makmum bolehlah melakukan sahwi setelah imam memberi salam.

Penutup
Saya berharap panduan ini telah membantu anda memahami mengenai topik sujud sahwi.

Jika anda mempunyai sebarang persoalan berkaitan sujud sahwi, anda boleh tinggalkan pertanyaan tersebut di ruangan komen di bawah.

Suka Apa Yang Anda Baca?
Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!

Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.