Cara Mandi Wajib Yang Betul Beserta Niat Dan Rukun Lelaki Wanita
Apabila anak kita semakin membesar, antara yang akan menjadi persoalan dalam minda mereka ialah berkenaan akil baligh.
Dan pastinya kita perlu mengajar tentang mandi wajib. Bahkan, kadangkala kita sebagai orang dewasa juga ada terlepas pandang perkara-perkara penting tentang ibadah ini.
Contohnya :
* Bila saya perlu mandi wajib ini?
* Adakah sah mandi wajib saya sedangkan saya ada mewarnakan rambut dan kuku?
* Adakah saya perlu mandi wajib sebaik sahaja habis melakukan seks?
* Sekiranya air tiada, apa yang boleh saya lakukan untuk mandi wajib?
Jadi, teruskan bacaan bagi mendapat jawapan bagi soalan-soalan diatas.
Apa Itu Mandi Wajib Dan Bila Perlu Dilakukan?
Mandi wajib atau mandi junub ialah menyucikan keseluruhan badan dengan air bersih. Islam mewajibkan mandi sekiranya berlaku salah satu dari perkara dibawah :
* Apabila seorang lelaki atau perempuan mengeluarkan air mani tidak mengira atas apa sekalipun sebabnya. Sama ada kerana mimpi, beronani (melancap) dan lain-lain.
* Apabila seorang wanita telah berakhir kitaran darah haidnya
* Apabila wanita dan lelaki melakukan hubungan seks tidak kira samada keluar ataupun tak air mani. Hukum mandi adalah wajib
* Apabila seorang wanita telah habis keluar darah nifas selepas bersalin. Biasanya mengambil masa antara hari selepas kelahiran
* Apabila seorang Muslim laki dan perempuan telah mati kecuali mereka yang mati kerana Jihad
* Apabila seorang kafir memeluk agama Islam
Mandi wajib yang tidak sempurna boleh mengakibatkan semua ibadah yang dilakukan selepas itu adalah tidak sah.
لاَتُقْبَلُ صَلاَ ةٌ بِلاَ طُهُوْرٍ
> “Allah tidak menerima shalat seseorang yang tidak thoharoh (bersuci).” (HR. Muslim)
Mandi wajib sebenarnya adalah satu proses yang sangat ringkas dan mudah. Sesiapa pun boleh lakukannya dengan sempurna.
[Baca juga:Bilakah Haid Akan Kembali Normal Selepas Bersalin]
Rukun Mandi Wajib
Rukun ialah aturan yang telah ditetapkan dalam Islam dan perlu diikut mengikut turutan.
Secara asasnya, rukun mandi wajib hanya ada 3 iaitu
1. Niat
2. Menghilangkan najis di badan
3. Meratakan air ke seluruh badan
Cukup dengan 3 langkah ini, mandi wajib anda sudah pun sempurna. Untuk panduan yang lebih terperinci pula, anda boleh teruskan bacaan.
Cara Mandi Junub Bagi Lelaki & Wanita
Ini cara yang lebih lengkap untuk anda lebih mudah melaksanakan tuntutan ini.
1. Niat Dan Doa Mandi Wajib
Niat mandi wajib boleh dilakukan dalam bahasa melayu ataupun bahasa arab. Yang penting anda ada lintasan hati untuk melakukan mandi wajib bagi menyucikan diri.
Niat perlu dilakukan sebaik sahaja air mula sampai ke tubuh badan semasa mandi. Sekiranya niat dilakukan sebelum air sampai ke kulit, niatnya tidak dikira sah.
( Bacaan Niat mandi wajib dalam rumi :NAWAITUL GHUSLA LIRAF’IL HADATSIL AKBARI FARDHAN LILLAAHI TA’AALAA )
Boleh juga membaca niat mandi wajib dalam bahasa melayu sahaja
> “Aku berniat mandi besar untuk menghilangkan hadats besar fardhu karena Allah Taala.”
2. Hilangkan najis yang ada dari seluruh badan
Sekiranya anda mandi disebabkan keluarnya haid, cucilah anggota sulit anda dan pastikan darah haid semuanya sudah bersih.
Sekiranya anda mandi disebabkan keluarnya air mani, cuci anggota sulit anda dan hilangkan air mani tersebut sebaiknya.
Hilangkan juga air kencing dan najis najis lain, sekiranya ada di badan anda.
Menurut Imam Nawawi, sekiranya ada najis pada badan, ianya boleh dicuci sekali dengan mandi.
3. Meratakan air ke seluruh tubuh badan
Pastikan anda menggunakan air bersih. Boleh mandi wajib dengan air sungai, air paip atau apa saja sumber air yang bersih.
Untuk lebih mudah, bolehlah mandi wajib dengan menggunakan shower.
Kredit : Flickr.comDi rukun ke-3 inilah yang biasanya membuatkan mandi wajib kita tak sempurna. Ini kerana kita tidak memastikan air betul-betul berjaya sampai ke seluruh anggota tubuh badan kita.
Walaupun nampak mudah, pastikan air benar-benar sampai ke kawasan berikut untuk mandi wajib yang sempurna:
* Celahan rambut, janggut, misai, bulu ari-ari (bulu di anggota sulit) dan bulu-bulu lain anda
* Bagi rambut yang berwarna, pastikan pewarna rambut tersebut ialah yang disahkan halal oleh JAKIM. Ini bagi memastikan air berjaya sampai ke rambut semasa mandi wajib
* Di setiap lipatan anggota anda seperti celah ketiak, lipatan di siku, lipatan di lutut kaki dan lain-lain
* Di setiap celahan seperti celahan punggung, celahan jari tangan dan kaki
* Di bawah kuku. Sekiranya ada kotoran atau pewarna di bawah kuku yang menghalang air untuk sampai, perlu dibersihkan dulu semasa mandi
Video Penerangan Cara Mandi Wajib
Cara Mandi Wajib Yang Dilakukan Rasulullah SAW
Perkara sunat sangat dituntut selepas melaksanakan yang wajib. Berikut ialah tatacara mandi wajib yang paling sempurna dan yang pernah dilakukan Rasulullah SAW semasa hayat beliau.
1. Membaca niat sebaik air menyentuh kulit
2. Membaca “Bismillah” di awal mandi
3. Mencuci tangan sebanyak 3 kali
4. Mencuci kemaluan dengan tangan kiri
5. Berwudhu’. Wudhu’ boleh dilakukan seperti biasa atau menangguhkan mencuci kaki selepas selesainya mandi
6. Membasuh kepala dan telinga dengan mengusap rambut menggunakan jari dengan air sebanyak 3 kali
7. Menyiram air ke kepala dimulai dengan sebelah kanan kemudian barulah sebelah kiri
8. Memulakan mandi dengan bahagian kanan tubuh
9. Meratakan air ke seluruh badan
[Baca juga:10 Teknik Mendidik Anak Perempuan]
Soalan-Soalan Lazim Berkaitan Mandi Wajib
1. Bolehkah saya melewatkan mandi wajib terutamanya selepas melakukan hubungan seks?
Boleh. Asalkan anda perlu mandi wajib sebelum melakukan solat
Orang yang melewatkan mandi wajibnya juga tidak membatalkan puasa dan boleh terus berpuasa, dan puasanya tetap sah selagi mana dia tidak membatalkan puasanya.
2. Tempat saya tiada air untuk membolehkan saya mandi wajib?
Anda boleh menggantikannya dengan tayammum menggunakan debu tanah yang bersih sebagaimana hadis Rasulullah saw dibawah.
Kredit : pelajaranilmu.blogspot.comDaripada Imraan ibn Hussain ra.
“Bahawa Rasulullah saw melihat seorang lelaki yang menjauhkan diri dan tidak bersolat dengan kaumnya, maka baginda berkata :
“Ya si Fulan, apa yang menghalang kamu dari tidak bersolat dengan kaummu?”
Dia menjawab : “Ya Rasulullah, saya dalam keadaan junub, dan tiada air.”
Baginda berkata : “Kamu hendaklah menggunakan tanah yang bersih, kerana ia mencukupi untukmu”
di dalam riwayat lain Nabi saw menjumpai air dan memberinya kepada orang yang telah menjadi junub tersebut, dan berkata : pergilah siram ini keatas dirimu.” [Hadith riwayat al-Bukhari Kitab Tayammum]
Jangan pandang remeh ibadah ini walaupun ianya sangat mudah. Ini kerana sekiranya ia tidak dilakukan dengan sempurna, semua ibadah kita yang dilakukan selepas dari itu langsung tidak sah.
Moga-moga dengan perkongsian ini, kita dapat mengajar anak kita dan dapat memperbaiki mandi wajib kita sendiri.
Boleh bantu kongsikan artikel ini ke facebook atau twitter anda? Moga lebih ramai dapat manfaatnya.